Penyusuan Susu Ibu Secara Eksklusif
Susu ibu merujuk kepada susu yang dihasilkan oleh kelenjar mammari ibu yang terletak di payu dara. Susu yang dikeluarkan khusus untuk digunakan sebagai makanan kepada bayi. Susu ibu dilihat sebagai makanan awal dalam bentuk cecair yang mempunyai nilai gizi yang cukup baik berbanding susu-susu keluaran haiwan atau susu formula, ia mudah dicernakan dengan baik walaupun diberikan kepada kanak-kanak berusia antara 6 bulan hingga 2 tahun.
Bayi baru lahir disarankan agar terus diberi makan hanya dengan susu ibu sehingga umur bayi menjangkau 6 bulan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penyusuan susu ibu dieksklusifkan bagi bayi yang berumur 6 bulan pertama kelahirannya. Ini bemaksud tiada sebarang pemberian makanan tambahan kepada bayi baru lahir sehingga ia mencapai umur 6 bulan selepas kelahiran. Pemberian makanan pejal, susu formula, susu skim, susu segar dari haiwan malahan air mineral dan air minuman pun sudah cukup menyebabkan bayi akan mengalami masalah tumbesaran, masalah komplikasi penyakit dan tanda kemerahan/ alergi boleh berlaku. Namun selepas umur bayi melebihi 6 bulan, barulah makanan tambahan seperti bubur formula, susu skim, air minuman diberikan sebagai tambahan terhadap penyusuan terus susu ibu sehingga umur bayi 2 tahun.
Penyusuan dengan susu ibu dapat memberi banyak faedah kepada bayi sehingga ia menjangkau usia kanak-kanak. Antara kebaikannya adalah; kurangnya mendapat risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS), meningkatkan tahap kepintaran dan kecerdikan, mengurangkan risiko seperti jangkitan telinga, kesejukan, flu dan selesema, serta dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit leukemia kanak-kanak, diabetes, asma dan ekzema. Juga mengurangkan penyakit kulit, masalah gigi dan gusi. Mengurangkan risiko obesiti, melancarkan sistem penghadaman dan obstektrik. Mengelakkan masalah kekuningan pada bayi (jaundice). Ia juga mampu mengurangkan risiko kecacatan dan keilatan bayi dan masalah pembinaan psikologi bayi.
Penyusuan bayi dengan susu ibu juga dapat membantu ibu mengekalkan saiz dan struktur rahim dan uterus seperti sebelum mengandung. Membantu mengurangkan pendarahan post-partum termasuk menurunkan kehilangan darah nifas dan wiladah. Juga membantu menurunkan berat badan ibu dan melangsingkan badan secara sihat. Penyusuan susu ibu pada bayi dapat mengurang risiko kanser payu dara dalam kehidupan ibu.
No comments:
Post a Comment